Orgeran Farisya.
Bunyi ombak jelas kedengaran menghempas pantai, deruan angin laut bertiup , serta hamparan pasir putih yang berkilauan tatkala disinari mentari membuatkan sesiapa yang berada di situ tak akan pernah berasa jemu. Memang tak pernah sekalipun perasaan sunyi merajai sanubari gadis yang semenjak pagi lagi begitu leka meneman pantai bersandiwara dan menonton ombak bermain seperti anak kecil berkejar-kejaran. Kadangkala dia tersenyum sendiri, entah siapa dapat menerka apa yang sedang bermain di kotak fikirannya ketika itu.
“Risya!”
Satu suara yang datang dari arah selatan kedengaran sayup-sayup. Namun Farisya masih leka mendengar bisikan angin Selatan yang ternyata lebih kuat derunya.
Seketika langkahan kakinya terhenti, kotak suaranya tidak jadi melontarkan lagi nama gadis di hadapannya itu. Mulutnya sudah terkunci, namun jantungnya makin rancak berdetak. Renungan matanya terpaku di situ setelah terpanah kelibat Farisya. Lembut angin pantai membelai rambut ikal Farisya membuatkan hati kecil lelaki yang sedang memerhatikannya itu terpana seketika.
“Eh, Syuk! Bila datang? Tak perasan ‘pun,” gadis itu bersuara setelah menyedari kehadiran lelaki itu tidak jauh darinya. Senyuman yang baru sahaja menyinari wajah Farisya membuatkan lelaki itu tidak berganjak sedikit ‘pun, masih terkaku dan membisu di situ.
“Kenapa?” Gadis itu bertanya kehairanan melihat kekakuan lelaki di hadapannya itu.
“Ada apa-apa ke dekat muka Risya ni?”
Kali ini gadis itu menyapu mukanya menggunakan jari-jarinya yang lembut. Syuk masih lagi diam tanpa sebarang jawapan.
“Syuk!”
Lelaki itu terkesima seketika, seolah baru tersedar dari mimpi gamaknya. Nampaknya dari mimpi yang indah.
“Ya, benar-benar indah,” sambung hati kecilnya.
“Haha, apalah Risya ni! Tengok tu ada pasir kat muka dia pun tak perasan,” Syuk bersuara diselangi gelak kecil.
Sekali lagi Risya menyapu mukanya, cuba menghilangkan butir pasir di wajahnya seperti yang dikatakan Syuk. Melihat gelagat Risya, Syuk berhenti ketawa lalu datang mendekati Risya.
“Macam mana? Banyak dapat ikan?” Syuk bertanya seraya merendahkan badannya , menjenguk ke dalam bekas yang berada di sisi Risya.
“Tak ada satu ‘pun,” balas Risya sambil memuncungkan bibirnya.
“Tak apalah kalau tak ada, sekarang ni memang tak banyak ikan,” Sambung Syuk, “Jom kita balik!”
Syuk mencapai bekas kosong itu dan menjinjitnya, dia berjalan di hadapan dan sesekali menoleh ke arah Farisya yang berjalan perlahan di belakangnya sambil memegang joran buluhnya itu. Dia berhenti melangkah melihatkan langkah Farisya yang semakin lambat.
“Kenapa ni? Sedih sebab ‘tak dapat ikan ke? Tak apa, esok Syuk temankan Risya, mesti dapat ikan punya,” Syuk bersuara cuba untuk menghibur Risya.
“Bukan, cuma tengah berfikir. Entah boleh ke tidak ya?” Risya mengajukan soalan kepada dirinya. Seketika kemudian dia tersenyum sendiri. Syuk yang memerhatikannya dari tadi tersengih kecil. Entah apa lagi yang difikirkan gadis itu.
“Biarlah , asalkan dia tak bersedih,” hati kecil lelaki itu bersuara lagi.
..........................
0 komen dan kritikan:
Post a Comment