Novella time (Orgeran Farisya)

                                                                                                     ...........................................


       “Ibu, ibu paling teringin nak makan ikan apa?” Risya mengajukan soalan seraya memandang ke arah ibunya yang sedang tekun mengait pakaian.
         Mazmin menoleh ke arah Farisya seketika, kemudian kembali lagi memberi tumpuan ke arah pekerjaan yang dilakukannya. Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulut ibunya, namun Risya tidak berputus asa, gadis itu mendekati ibunya, berteleku seketika sambil memandang ibunya dari dekat.
     “Cakaplah ibu, biar Risya tangkapkan untuk ibu,” Risya bersuara memujuk ibunya.
     “Apa-apa ajalah Risya,” ibunya bersuara pendek, “Sudah, pergi tidur. Esok pagi-pagi pergi ke kebun dulu baru nak ke mana-mana.”

      “Baiklah bu, selamat malam,” balas Risya lemah seraya mengatur langkah untuk ke biliknya.
      Mazmin menggeleng, kadangkala dia terfikir juga dari mana datangnya perangai Risya yang keletah dan nakal itu. Anak gadisnya itu selalu membuatkan dia berasa risau , berbeza betul dengan dirinya sewaktu kecil dulu, apa yang disuruh ibu bapanya akan dituruti tanpa bantahan.
     “Budak sekarang ni tak sama betul dengan budak-budak dulu,” sambung ibunya dalam hati.

     “Ikan bawal macam mana bu, ibu suka ‘kan?” Risya yang muncul tiba-tiba itu bersuara. Hampir sahaja benang kait di tangan Mazmin terlepas dari genggaman.
       “Risya!” Mazmin bersuara sedikit marah.
       “Okay bu, Risya tidur dulu,” balas Risya dengan sengihan , terus sahaja berlalu ke biliknya dan menutup pintu rapat-rapat.

     “Apalah kenanya dengan budak ‘tu?” rungut Mazmin sendirian.

…………………..

     “Mmm.. Macam mana ya?” soal Risya sendirian sambil matanya leka memerhati air laut yang tenang. Kelibat Syuk telah hilang entah ke mana, baru sahaja sekejap tadi dia muncul seketika untuk meninjau keadaan Risya. Bagi Risya dia memang lebih suka bersendiri tatkala berada di situ, ditemani pantai dan angin laut sudah lebih dari memadai.
     “Baiklah, cuba dulu,” kata Risya bermonolog sendiri,
     “Ikan-ikan di air ini, nak ditangkap terlepas lari, jadi berenanglah ke mari , cukuplah seekor ikan bawal dan ikan pari.” 

     Risya menyising seluarnya sedikit ke atas, kemudian berjalan meredah tepian pantai yang sedikit berair dan meletakkan bekas yang dibawanya ke dalam air laut yang kebiruan itu. Tiada apa-apa yang kelihatan.
     “Jadi kalau berpantun memang tak berkesan,” gesus Risya sambil memuncungkan bibirnya.
     “Baiklah, ikan di laut berenang ke sini, Risya nak seekor ikan bawal dan ikan pari!”

 Seketika kemudian kelihatan seekor ikan pari dan bawal timbul ke permukaan air, berenang perlahan ke arah pantai dan memasuki bekas Risya. Pantas Risya menggangkat bekas itu ke atas dan kembali ke daratan.

      “Berjayalah!” Risya bersuara kegirangan. Melihat dua ekor ikan yang berada di dalam bekasnya itu, Risya berasa senang. Sempat juga dia membayangkan wajah ibunya tatkala dia menunjukkan ikan-ikan itu kepada ibunya nanti. Risya tersenyum sendiri lagi.

    “Wow, Risya! Syuk ni dah berapa minggu memancing tahu, tak dapat seekor ikan pun,” Syuk yang menjinjing bekas berisi ikan terus-terusan bersuara. Dari tadi tak habis-habis memuji Risya.
    “Memanglah tak besar mana, tapi kebelakangan ni susah tahu nak dapat ikan, lagi-lagi ikan pari ni,” sambung Syuk lagi.

      “Sudah-sudahlah ‘tu Syuk, kau puji banyak mana pun Risya tak akan bagi ikan tu dekat kau,” Jai bersuara tiba-tiba. Fin dan Saman yang turut mengikuti perbualan Syuk sejak dari pantai tadi lagi ketawa kecil.
       Risya yang berjalan di sisi Syuk turut tersenyum , “tadi kamu semua dari mana?” tanya Risya kemudian. Dia sendiri pelik ketika melihat Jai dan yang lainnya tadi. Kebelakangan ini mereka tidak berapa gemar ke pantai sebaliknya lebih suka ke hutan untuk mencari binatang untuk diburu, yalah mungkin kerana hasil laut berkurangan ketika ini. Bapa Saman yang bekerja sebagai nelayan pun dah agak lama tak turun ke laut.

     “Oh, kitorang dari pantai sebelah timur sana. Semalam Syuk cakap dia nampak ada kerang, jadi kitorang datanglah tengok. Tengok ni ada sikit,” jawab Fin seraya menunjukkan bekas plastik di tangannya yang berisi kerang.
    “Banyak juga ni, mm..boleh tak nanti,” Risya  teragak-agak untuk bersuara .
     “Alah, nak kulit kerang ni ‘kan? Mestilah boleh, Syuk pun dah ingatkan kitorang tadi supaya simpankan kulit kerang ni untuk Risya,” Fin bersuara seraya menjeling ke arah Syuk.
     “Hehe..terima kasih,” ucap Risya kepada semua temannya itu.
     “Cakap terima kasih dekat Syuk dah lah,” sambung Fin cuba mengusik Syuk.

    “Eh, kenapa ‘tu?” Syuk tidak mengendahkan usikan Fin, sebaliknya menunding jari ke arah kebun. Kelihatan penduduk kampung sedang berkumpul di situ, entah apa yang berlaku?

………………………..

0 komen dan kritikan:

Copyright© All Rights Reserved kongsistoryaku.blogspot.com/