Selangkah perjalanan ini membawa aku kepada kisah yang baru. Baru semalam aku tertanya tentang kenyataan kehidupan, adakah benar manusia itu cuma datang saat mereka memerlukan sesuatu, selepas itu semudah itu mereka meninggalkan aku?

Sedari dahulu lagi aku belajar menerima keadaan dengan sebaik mungkin, aku cuba juga, walaupun ternyata tak semudah itu untuk melaksanakannya. Aku cuba katakan boleh, aku katakan ya, walhal hati menjerit. Nak lari tapi ke mana? Di hadapan sanalah haluan yang perlu aku lalui, di hadapan sana jugalah takdir aku menanti, jadi tak guna nak mengelakkan diri.

Kesunyian menggamit perasaan aku bila aku sendiri, rasa sepi bila tiada yang menemani. Tapi itu semua bukan masalah besar untuk aku, aku dah lalui saat-saat ini, dan ia lebih sukar untuk aku lalui dulu, ketika aku masih perlukan dokongan, ketika aku masih tidak mampu berdiri sendiri. Tapi sekarang aku mampu menghadapinya ! Itu yang aku fikirkan, tapi kenyataannya tidak. Rupanya walau dah berkali - kali, hati ini tetap merasai kesakitannya, entah kenapa ia makin terasa, kenapa? Bukankah sebelum ini aku dah lalui semua ini? Sepatutnya aku dah biasa kan?

Entahlah, mungkin kerana hakikat aku seorang manusia, aku perlukan seseorang yang boleh memahami dan mengerti aku. Walau berkali aku menolak dan mendesak untuk tidak mengharapkan apa-apa dari sesiapa, tapi hati ini tetap juga berdetik sendiri, masih menyimpan harapan yang aku sendiri tak mengerti, simpan keinginan untuk dihargai, untuk disayangi, untuk dimengerti. Akankah keinginan yang tersimpan ini membawa lebih kesakitan dan derita? Atau mungkin satu hari harapan ini kan menjadi nyata?
Copyright© All Rights Reserved kongsistoryaku.blogspot.com/